Tuan Guru Nik Aziz
SESUNGGUHNYA prinsip keadilan dan persamaan hak dalam Islam, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. melalui peristiwa al-Ahzab, tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan fahaman demokrasi barat. Walaupun demokrasi itu membawa makna kepada persamaan hak dan kebebasan individu dalam mendapatkan keadilan, sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan manusia hari ini.
Tidak seyogia menyamakan prinsip keadilan dan persamaan hak dalam Islam yang berasaskan sifat ubudiyyah kepada Allah SWT, dengan fahaman demokrasi ciptaan manusia itu.
Malah ditegah sama sekali menggunakan perkataan demokrasi terhadap kerja-kerja Nabi s.a.w. khususnya ketika melaksanakan tanggungjawab kepimpinan semasa membuat persiapan menghadapi perang al-Ahzab. Tiada sebarang kaitan antara prinsip keadilan dan persamaan hak yang diajar oleh Nabi s.a.w. kepada para sahabat, dengan fahaman demokrasi yang dilaungkan oleh barat.Pihak orientalis sering mengaitkan perkataan demokrasi ketika mengulas kerja-kerja Nabi s.a.w. itu, tindakan musuh-musuh Islam itu sememangnya berniat jahat. Mereka berusaha supaya kelak orang akan menganggap tiada bezanya antara kedua-dua fahaman itu. Inilah niat buruk mereka terhadap Nabi s.a.w.
"Mengapa mesti mengadakan suatu peraturan yang lain, yang boleh menimbulkan kekeliruan, sama ada hendak membesarkan Allah SWT atau mengagungkan manusia dalam urusan ibadat." |
Amat jelas bahawa persamaan hak dalam Islam itu adalah berasaskan sifat ubudiyyah atau beribadat kepada Allah SWT. Islam menganjurkan keadilan dalam semua bidang kehidupan, sebagaimana seruan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: "Berlaku adillah kamu, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa." (Surah al-Maidah ayat 8).
Justeru apabila Islam menyatakan keadilan dan persamaan hak, maka ia sememangnya menjadi prinsip agama Allah SWT itu. Ia tidak membezakan antara pemimpin dan orang yang dipimpin, di antara pihak yang berkuasa dengan rakyat yang bernaung di bawah kekuasaannya. Semuanya adalah makhluk ciptaan Allah yang bertaraf hamba.
Apa pun kedudukan manusia dalam masyarakatnya, mereka adalah hamba Allah, mereka tetap menerima tanggungjawab (taklif) syarak atau beban hukum yang sama di sisi Allah SWT. Pangkat dan kedudukan tidak menjadikan mereka lebih istimewa di sisi Allah Taala, kecuali mereka yang bertakwa kepada-Nya.
Contohnya persamaan hak dalam Islam dalam perkara ibadat solat jemaah atau solat Jumaah. Nabi s.a.w. menjelaskan dalam beberapa sabdanya mengenai kelebihan atau fadilah beribadat dalam saf pertama di masjid. Orang yang datang awal akan mendapat tempat pada saf pertama, kepada mereka dijanjikan ganjaran besar dan mendapat fadilah serta keutamaan di sisi Allah Taala.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan kelebihan beribadat dalam saf pertama di masjid itu, pasti berusaha untuk datang ke masjid lebih awal.
Tidak kira sama ada mereka itu terdiri dari rakyat biasa atau pemimpin yang berkedudukan tinggi dalam negara. Sebagai pemimpin atau ketua negara memang sewajarnya mereka datang awal, agar mereka berada di saf pertama dan menjadi contoh kepada rakyat biasa. Namun jika mereka lewat sampai ke masjid sudah tentu tidak dapat mengerjakan solat pada saf pertama, kerana telah dipenuhi oleh mereka yang datang awal. Sudah semestinya orang yang datang lewat maka tempat mereka ialah pada saf-saf berikutnya dan mungkin di saf belakang.
Oleh kerana masjid itu adalah "Rumah Allah", siapa jua hamba Allah tidak kira apa kedudukan, mempunyai peluang yang sama untuk berlumba meraih fadilah yang dijanjikan oleh Allah SWT. Perlumbaan untuk meraih kebaikan sememangnya suatu yang sihat dan dianjurkan oleh Islam, sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebajikan." (Surah al-Maidah ayat 48).
Dalam mana-mana perlumbaan, yang cepat semestinya berada di hadapan, orang yang lambat akan tertinggal di belakang. Tidak adil jika orang yang datang lambat ke masjid boleh mendapat tempat pada saf pertama, semata-mata kerana orang itu berkedudukan tinggi orang ternama dalam negara.
Lebih malang lagi jika ketidakadilan itu berlaku disebabkan pihak pengurusan masjid sendiri yang menyediakan tempat khas di saf pertama bagi orang-orang tertentu, atas alasan untuk memuliakan dan menghormati kedudukan orang tertentu.
Alasan tersebut tidak selari dengan syariat Islam, kerana yang hendak dimuliakan oleh orang-orang yang berkunjung ke masjid ialah Allah SWT. Justeru itulah disunatkan mendirikan solat sunat "Tahiyyatal Masjid" (solat menghormati masjid) sebagai Rumah Allah SWT.
Sungguh mendukacitakan, syariat Allah telah dinafikan pelaksanaannya di Rumah Allah SWT sendiri. Akibatnya mereka telah merampas hak orang yang datang awal, perbuatan merampas hak orang lain adalah suatu kezaliman.
Allah SWT tidak akan memberi pertolongan kepada orang yang zalim. Sayangnya kezaliman itu dilakukan oleh manusia di rumah Allah SWT sendiri. Allah SWT memberikan keutamaan kepada orang yang datang awal untuk mendapat fadilah saf pertama. Kerana orang yang datang awal adalah tanda mereka mencintai dan mengingati Allah. Sebab itu mereka sering berdahuluan datang ke masjid untuk beribadat kepada-Nya.
Sementara orang-orang datang lambat, adalah menggambarkan sikap sambil lewa mereka terhadap Allah SWT. Tidak hairanlah orang bersikap sambil lewa akan terlepas peluang untuk meraih fadilah dan ganjaran yang banyak dari Allah SWT.
Tiada kemuliaan di sisi Allah bagi manusia yang bersikap smbil lewa dalam melakukan ibadat kepada-Nya, sekalipun mereka seorang yang berkedudukan dan berpangkat tinggi. Firman Allah Taala yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah, ialah orang yang lebih bertakwa di kalangan kamu." (Surah al-Hujrat ayat 13).
Jika dalam ruang yang terhad iaitu di masjid, syariat Allah khususnya mengenai prinsip keadilan dan persamaan hak tidak dapat dilaksanakan, maka pihak manakah yang boleh diharap untuk melaksanakan keadilan dan persamaan hak di muka bumi yang luas ini?
Tujuan melakukan ibadat tidak lain hanya untuk membesarkan Allah SWT. Justeru itu tidak wajar mengadakan satu peraturan yang lain, yang bertujuan untuk membesarkan manusia semata-mata kerana pangkat dan kedudukan orang berkenaan.
Mengapa mesti mengadakan suatu peraturan yang lain, yang boleh menimbulkan kekeliruan, sama ada hendak membesarkan Allah SWT atau mengagungkan manusia dalam urusan ibadat.
Selain itu Allah SWT juga mendidik hamba-Nya mengenai prinsip keadilan dan persamaan hak melalui ibadat Haji. Kaum muslimin di seluruh dunia menunaikan kewajipan tersebut, tidak kira sama ada mereka bertaraf pemimpin negara atau rakyat biasa, kaya atau fakir, berpelajaran tinggi atau tidak mempunyai kelulusan.
Mereka berhimpun di Arafah dengan tujuan untuk mengabdi diri kepada Allah SWT. Mereka berhimpun di Arafah untuk menyahut seruan-Nya, datang ke bumi suci dengan pakaian yang membalut tubuh mereka hanya sehelai kain ihram dan selendang berwarna putih tanpa berjahit, seolah-olah tubuh mereka sedang dibaluti kain kapan. Mereka datang hanya untuk mensucikan dan memuji keagungan Allah SWT.
Mereka berkeadaan sedemikian bukan saja untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui ibadat Haji, bahkan ibadat tersebut sebagai tarbiyah kepada mereka khusus untuk menghayati hakikat persamaan hak dan keadilan yang sebenarnya.
Di Arafah mereka melupakan kedudukan masing-masing, pangkat kebesaran dan kedudukan tidak menjadikan taraf dan darjat mereka lebih tinggi berbanding orang lain yang sedang wukuf. Siapa pun diri mereka, tidak lebih hanyalah sebagai hamba Allah SWT, yang diberikan persamaan hak dan keadilan di bumi Allah ini.
Jelaslah bahawa punca persamaan hak dan keadilan Islam itu ialah dari perasaan mengabdikan diri dan bertuhankan kepada Allah SWT.
Tetapi fahaman demokrasi barat ialah berhakim dengan pandangan dan kehendak suara majoriti, ini bererti suara ramai menentukan suatu peraturan dan undang-undang. Seolah-olah mereka bertuhankan kepada kemahuan orang ramai.
Sifat-sifat ubudiyyah mendorong hamba-Nya yang beriman, melaksanakan apa jua yang dikehendaki Allah SWT. Justeru itu apabila Nabi s.a.w. meletakkan diri sama taraf dengan para sahabat dan juga rakyat biasa ketika melakukan kerja-kerja membina parit untuk persiapan menghadapi perang al-Ahzab, maka tidak wajar ia disamakan dengan demokrasi barat, kerana ia telah merendahkan taraf kenabian Nabi Muhammad s.a.w. yang melaksanakan semua perkara atas perintah Allah SWT.
Hasil persamaan hak dalam Islam yang berpunca dari semangat perhambaan (ubudiyyah) Nabi s.a.w. kepada Allah SWT, maka Islam tidak peduli kepada hak-hak istimewa bagi mana-mana golongan dan kedudukan atau jawatan tinggi seseorang itu. Tidak ada sebarang kekebalan (imuniti) individu atau kumpulan di sisi syariat Allah SWT.
Sedangkan demokrasi barat sekadar melaungkan persamaan hak, namun dalam masa yang sama mereka tidak sunyi dari mewujudkan hak-hak istimewa bagi golongan tertentu di pihak atasan. Keistimewaan yang tidak diperolehi oleh rakyat jelata atau golongan bawahan. Demokrasi barat masih terdapat imuniti golongan tertentu. Meskipun terdapat usaha menghapuskan imuniti golongan tertentu di pihak atasan, namun ia dilakukan bukan atas sifat ubudiyyah kepada Allah SWT.
Sebaliknya ia dilakukan atas kehendak demokrasi yang tidak sehat, atau desakan rasa iri hati dan dendam politik. Sudah tentu tindakan itu tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah SWT. Jauh sekali untuk mendapat pahala, kerana Allah menilai sesuatu tindakan berdasarkan kepada niat yang ikhlas serta patuh atas arahan-Nya.
sumber asal:
http://arkib_terpilih.tripod.com/i2000_0513.htm
Tidak ada komentar:
Posting Komentar