Rabu, 26 November 2008

KRONOLOGI SIRAH NABI S.A.W

Oleh : abuFateh & ustaz Rawizal (Pengarang Bersama)

Siri kali saya akan siarkan kepada teman pembaca satu kertas kerja bertajuk Kronologi Sirah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, secara bersiri (14 siri). Kertas kerja ini saya siapkan bersama bekas teman serumah saya satu ketika dahulu iaitu Mohd Rawizal b. Mohd Nawi (Ba Syariah Wal-Qanun, Syariah Islamiah, Al-Azhar Kaherah). Beliau sekarang ini sedang bertugas di KIAS, Nilam Puri.

Kronologi ini asalnya merupakan projek ahli rumah kami untuk menerbitkan sebuah buku, yang akhirnya kami namakan sebagai Monograf Serambi Mekah. Ianya adalah himpunan 7 kertas kerja yang kami tulis dan kumpulkan menjadi sebuah buku. Alhamdulillah monograf ini berjaya kami terbitkan awal 2005 yang lalu, tetapi edaran hanya terhad di bumi Mesir ini sahaja. Khabarnya Ammu Im tengah menyusun projek untuk menghasilkan Monograf serambi Mekah edidi kedua, tak sabar nak tengok hasilnya nanti.

Kronologi hidup rasul teragung Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam ini, merupakan ringkasan daripada pelbagai kitab sirah yang dikarang oleh beberapa orang ulama’. Kami sekadar menukilkan apa yang mampu sebagai panduan kepada pembaca untuk mengetahui urutan peristiwa dan maklumat penting sepanjang sirah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Sebenarnya terdapat banyak khilaf mengenai sesuatu peristiwa, contohnya Syeikh Khudri Bik mengatakan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah musafir ke Syam dan bertemu dengan paderi Buhaira pada umur baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam 12 tahun manakala Syeikh an-Nadawy mengatakan umur baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam ketika itu ialah 9 tahun. Banyak lagi khilaf mengenai tahun berlaku sesuatu peristiwa seperti tahun berlakunya pengusiran Yahudi Banu Nadhir, peperangan Banu Mustaliq dan sebagainya.

Namun dalam menyiapkan kronologi ini kami tidak mentarjihkan mana-mana pendapat ulamak mengenai tahun-tahun yang menjadi khilaf ulamak, apa yang penting bagi kita ialah mendalami mengenai sesuatu peristiwa dan menjadikannya sebagai iktibar dalam meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Senarai Rujukan Kami :

  1. Al-Syeikh Muhammad Al-Khadhri Bik, Nurul Yaqin Fi Sirah Sayyidi Al-Mursalin. 2002M/1421H: Darul Bayan Al-Arabi.
  2. Al-Syeikh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri, Al-Rahiq Al-Makhtum. 2005/1426H: Darul Wafa'.
  3. Ibnu Hisyam, Sirah An-Nabawiyyah Li Ibn Hisyam : Maktabah Al-Qimah
  4. Muhammad Ramadhan Al-Buti, Fiqhu Al-Sirah, Jld. 1,2 & 3. 1983: Dewan Pustaka Fajar.
  5. Muhammad Husain Haekal, Sejarah Hidup Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, 1972: Tintamos Indonesia.
  6. Dr. Rusdi Badrawi, Khatimul Anbiya' Muhammad S.A.W, 2004: Maktabah Al-Jazirah Intersional.
  7. Abu Hasan Ali Al-Hasani An-Nadawi, Riwayat Hidup Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. 1983: Pustaka Nasional Pte. Lpt. Singapura.
  8. Syekh Imam Muhammad bin Abi Bakr bin Abdul Qadir Al-Razi, Mukhtar Al-Sihah.
  9. M. Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi'ah Am, Kamus Istilah Fiqh. 1997: Penerbit PT Pustaka Firdaus.
  10. Tokoh-tokoh Sepanjang Sejarah Islam Daripada Islam Dan Musyrik.
  11. CD Al-Qamus Al-Islami.

Selamat membaca…..

KRONOLOGI

SIRAH RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Disediakan oleh:

Mohd Rawizal b. Mohd Nawi Fakulti Syariah Wal-Qanun (Syariah Islamiah)

Ahmad Muhaimin b. Mustapha Kuliah Perubatan Universiti Kaherah

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه

1.0 BIOGRAFI

Nama :

Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bin 'Abdullah bin 'Abdul Mutalib bin Hasyim bin 'Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan.

Bapa :

Abdullah bin Abdul Mutalib

Ibu :

Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab

Tarikh lahir :

Isnin, 12 Rabi'ul Awal Tahun Gajah (pendapat masyhur). Pendapat yang rajih pada 9 Rabi'ul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi.

Status :

Anak yatim, kematian bapa semasa 2 bulan dalam kandungan. Ibunya wafat semasa berumur 6 tahun.

Isteri-isteri :

  1. Khadijah binti Khuwailid Radhiallahu 'Anha
  2. Saudah binti Zam'ah Radhiallahu 'Anha
  3. 'Aisyah binti Abu Bakar Radhiallahu 'Anhuma
  4. Hafsah binti Umar Radhiallahu 'Anhuma
  5. Zainab binti Khuzaimah Radhiallahu 'Anha
  6. Ummu Salamah, Hindun binti Abu Umayyah Radhiallahu 'Anha
  7. Zainab binti Jahsy Radhiallahu 'Anha
  8. Juwairiyah binti Harith Radhiallahu 'Anha
  9. Ummu Habibah, Ramlah binti Abu Sufyan Radhiallahu 'Anhuma
  10. Shafiyyah binti Huyai bin Akhtab Radhiallahu 'Anha (Banu Nadir keturunan Nabi Harun)
  11. Maimunah binti Harith Radhiallahu 'Anha

· Semua isteri Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam janda semasa dikahwini kecuali Aisyah Radhiallahu 'Anha.

· Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam meninggalkan 9 orang isteri setelah kewafatannya.

Surriyyah [1] : (Hamba yang disediakan tempat kediaman untuknya. Mukhtar Al-Sihah.)

  1. Mariah binti Syam'uun Radhiallahu 'Anha (Hadiah raja Mesir, Muqauqis)
  2. Raihanah binti Zaid Radhiallahu 'Anha (Tawanan perang yang masuk Islam, dibebaskan dan berkahwin dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, dari Banu Nadhir)

Zuriat :

  1. Qasim Radhiallahu 'Anhu (menyebabkan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam digelar Abul Qasim)
  2. Zainab Radhiallahu 'Anha
  3. Ruqayyah Radhiallahu 'Anha
  4. Ummu Kalthum Radhiallahu 'Anha
  5. Fatimah Radhiallahu 'Anha
  6. Abdullah Radhiallahu 'Anhu (digelar sebagai at-Taiyib dan at-Tahir)
  7. Ibrahim Radhiallahu 'Anhu.
  • Semuanya daripada Khadijah Radhiallahu 'Anha kecuali Ibrahim Radhiallahu 'Anhu daripada Mariah Al-Qibtiyyah Radhiallahu 'Anha.
  • Semua anak-anak Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam wafat sewaktu hayat baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam kecuali Fatimah Radhiallahu 'Anhu.
  • Semua anak lelaki wafat sewaktu kecil lagi.
2.0 PERISTIWA PENTING DARI KELAHIRAN HINGGA DIANGKAT MENJADI RASUL.

  • Dipelihara oleh datuknya 'Abdul Mutalib setelah lahir.
  • Disusukan oleh Suwaibah hamba Abu Lahab sebelum diserahkan kepada Halimah binti Abi Zuwaib dari puak Sa'ad bin Bakr.
  • Mendatangkan keberkatan kepada Kampung Banu Sa'ad bila tiba di sana.
  • Selepas dua tahun dibawa balik kepada bondanya Aminah, namun Halimah As-Sa'adiyah memujuk bonda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk terus memelihara baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
  • Belajar mengembala kambing sejak daripada kecil dan dapat bercakap bahasa Arab Fusha dengan baik hasil daripada tinggal di kampung Banu Sa'ad.
  • Peristiwa di bedah dada oleh malaikat, kemudiannya dihantar pulang ke jagaan ibunya. (Umur 5 tahun)
  • Wafatnya Aminah di Abwa'. (Umur 6 tahun)
  • Dipelihara pula oleh datuknya Abdul Muttalib.
  • Di pelihara oleh Abu Talib selepas kematian Abdul Muttalib. (Umur 8 tahun)
  • Memulakan perjalanan pertama ke Syam untuk berniaga bersama bapa saudaranya Abu Talib, bertemu dengan paderi Buhaira. (Umur 12 tahun)
  • Mula berdikari mencari rezeki dengan menternak kambing.
  • Berlaku Harbu Al-Fijar: (Umur 20)
  • Hilfu Al-Fudhul:
  • Bertujuan untuk membela hak-hak orang yang dianiaya.
  • Berpunca dari kejadian seorang Badwi dari Usun Zubaid datang ke Mekah menjual barang namun seorang pembeli, 'Ash bin Wail tidak membayar harga barangan yang dibeli.
  • Musafir kali ke-2 ke Syam bersama Maisarah membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid Radhiallahu 'Anha. (Umur 25 tahun)
  • Khadijah Radhiallahu 'Anha menawarkan diri menjadi suri hidup Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam melalui Nafisah binti Manbah.
  • Perkahwinan dengan Khadijah Radhiallahu 'Anha semasa baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam berumur (25 tahun), manakala Khadijah Radhiallahu 'Anha berumur (40 tahun).
  • Kelahiran Qasim Radhiallahu 'Anhu pada umur (28 tahun).
  • Kelahiran Zainab Radhiallahu 'Anha.
  • Wafatnya Qasim Radhiallahu 'Anhu semasa berumur 2 tahun.
  • Penyertaan Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam pembinaan Kaabah yang runtuh akibat banjir di Kota Mekah. (Umur 35 tahun)
  • Menyelesaikan persengketaan dalam usaha meletakkan Hajarul Aswad.
  • Terkenal dengan panggilan Al-Amin.
  • Mula gemar berkhalwat di Gua Hira'. (Umur 40 tahun)
3.0 DARI KERASULAN HINGGA PERISTIWA HIJRAH

Penurunan Wahyu:

- Wahyu pertama turun. (Julai tahun 610 Masihi bersamaan dengan 17 Ramadan tahun ke-13 sebelum Hijrah).

- Pulang dalam ketakutan dan pertemuan dengan Waraqah bin Naufal, sepupu Khadijah Radhiallahu 'Anha.

- Terputusnya wahyu selama 40 hari.

- Turunnya awal Surah Al-Muddathir.

- Seruan Dakwah dan Penentangan:

- Bermula seruan dakwah secara sulit selama 3 tahun.

- Golongan awal memeluk Islam :

i) Khadijah binti Khuwailid Radhiallahu 'Anha
ii) Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah
iii) Zaid bin Harithah Radhiallahu 'Anhu
iv) Abu Bakr bin Abi Quhafah Radhiallahu 'Anhu
v) Uthman bin 'Affan Radhiallahu 'Anhu
vi) Az-Zubair bin Al-Awwam Radhiallahu 'Anhu
vii) Abdul Rahman bin 'Auf Radhiallahu 'Anhu
viii) Sa'ad bin Abi Waqqas Radhiallahu 'Anhu
ix) Talhah bin 'Ubaidillah Radhiallahu 'Anhu

- Apabila penganut Islam berjumlah 30 orang, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjadikan rumah Al-Arqam bin Abi Arqam Radhiallahu 'Anhu sebagai markaz dakwah.

- Turunnya Surah Al-Hijr ayat ke-94 memerintahkan dakwah dilakukan secara terang-terangan.

- Mengumpulkan Banu Fihr dan Banu 'Adi di Bukit Safa.

- Bermulanya penyeksaan; dicekik oleh 'Uqbah bin Abi Mu'it semasa sedang solat di Kaabah, dilontar najis.

- Sahabat-sahabat mula diseksa.

- Golongan-golongan penentang:

i) Abu Jahal 'Amru bin Hashim
ii) Abu Lahab bin Abdul Muttalib; bapa saudara Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam
iii) 'Uqbah bin Abi Mu'it
iv) Al-'Ash bin Wa'ail
v) Al-Aswad bin Abdu Yaghuth
vi) Al-Aswad bin Abdul Muttalib
vii) Al-Walid bin Al-Mughirah
viii) An-Nadhr bin Al-Harith

- Keislaman Hamzah bin Abdul Muttalib Radhiallahu 'Anhu hasil daripada penindasan Musyrikin Quraisy terhadap Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

- Hijrah pertama ke Habsyah – 10 lelaki 5 perempuan. (Rejab tahun ke-5 kenabian)

- Keislaman Umar Al-Khattab Radhiallahu 'Anhu.

- Kepulangan Muhajirin dari Habsyah selepas 3 bulan di perantauan.

- Permintaan Musyrikin Quraisy kepada Abu Talib agar menyerahkan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk dibunuh.

- Bermulanya pemulauan ekonomi ke atas Banu Hashim dan Banu Abdul Mutalib. (Tahun ke-7 kenabian)

- Musyrikin Quraisy bersetuju tidak mengahwini, tidak berjual beli, memutuskan hubungan, menyekat sumber-sumber rezeki dan tidak menerima sebarang perdamaian. Naskhah perjanjian digantung di Kaabah (Pemulauan ini berlaku selama 3 tahun bermula bulan Muharam tahun ke-7 hingga tahun ke-10 selepas kebangkitan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjadi rasul. Berakhir dengan anai-anai menggerit naskhah perjanjian)

- Hijrah kedua ke Habsyah – 83 lelaki 18 perempuan. (Rabi'ul Awal tahun ke-6 kenabian)

- Berakhirnya pemulauan dengan peristiwa keluar 5 orang pemuka Quraisy melanggar perjanjian:


i) Hisyam bin 'Amru bin Rabi'ah
ii) Zuhair bin Umayyah
iii) Mut'im bin 'Adi
iv) Abu Al-Bakhtari bin Hisyam
v) Zam'ah bin Al-Aswad

- Utusan pertama menemui Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam semasa musim haji. Rombongan Nasrani Najran seramai lebih kurang 20 orang yang akhirnya memeluk Islam.
- Kewafatan Khadijah Radhiallahu 'Anha (tahun ke-10 kenabian), diikuti dengan kewafatan Abu Talib sebulan lima hari selepas itu; merupakan tahun perkabungan dan tahun kesedihan.

- Bertambah hebat penentangan kepada dakwah Islam.

- Perkahwinan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan Saudah binti Zam'ah Radhiallahu 'Anha pada bulan yang sama dengan kematian Khadijah Radhiallahu 'Anha.

- Sebulan kemudian perkahwinan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan 'Aisyah binti Abu Bakr Radhiallahu 'Anhuma.

- Perantauan ke Taif bersama dengan Zaid bin Harithah Radhiallahu 'Anhu. (tahun ke-10 kenabian)

- Dakwah Nabi ditolak oleh Banu Thaqif; Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam disakiti.

- Peristiwa Isra' Mi'raj: (Rejab tahun ke-10 kenabian / 18 bulan sebelum hijrah)

» Mukjizat Isra' Mi'raj.

» Solat lima waktu sehari semalam difardukan.

» Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dibawa dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa kemudian dinaikkan ke Sidratul Muntaha.

» Pendustaan Musyrikin Quraisy terhadap peristiwa ini dan Abu Bakar Radhiallahu 'Anhu mendapat gelaran As-Siddiq

- Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam memperkenalkan dirinya kepada qabilah-qabilah yang datang menunaikan haji di Mekah; keislaman Abu Dzar Radhiallahu 'Anhu.

- Bermulanya golongan Ansar memeluk Islam, semuanya daripada kalangan Khazraj seramai 6 orang: (tahun ke-11 kenabian)

i) As'ad bin Zurarah Radhiallahu 'Anhu
ii) 'Auf bin Al-Harith Radhiallahu 'Anhu
iii) Rafi' bin Malik Radhiallahu 'Anhu
iv) Qutbah bin 'Amir Radhiallahu 'Anhu
v) 'Uqbah bin 'Amir Radhiallahu 'Anhu
vi) Jabir bin Abdullah Radhiallahu 'Anhu

- Perjanjian Al-'Aqabah yang pertama: (tahun ke-12 kenabian)

» Disertai 12 lelaki Ansar - 10 daripada Khazraj dan 2 daripada Aus:

i) As'ad bin Zurarah Radhiallahu 'Anhu
ii) Auf bin Al-Harith Radhiallahu 'Anhu
iii) Muaz bin Al-Harith Radhiallahu 'Anhu
iv) Rafi' bin Malik Radhiallahu 'Anhu
v) Zakwan bin Qais Radhiallahu 'Anhu
vi) 'Ubadah bin Al-Samit Radhiallahu 'Anhu
vii) Yazid bin Tha'labah Radhiallahu 'Anhu
viii) Al-Abbas bin 'Ubadah Radhiallahu 'Anhu
ix) 'Uqbah bin 'Amir Radhiallahu 'Anhu
x) Qutbah bin 'Amir Radhiallahu 'Anhu
xi) Abu Al-Haitham bin Al-Tihan Radhiallahu 'Anhu (Aus)
xii) Uwaim bin Sa'adah Radhiallahu 'Anhu (Aus)

» Dimetrikan sepertimana Bai'ah An-Nisa' – perjanjian ketaatan dan keimanan tidak mengenai soal perang dan jihad.

- Pengutusan Mus'ab bin Umair Radhiallahu 'Anhu sebagai guru Al-Quran, beliau dikenali sebagai "Muqri' Al-Madinah". Kemasukan Islam beramai-ramai oleh masyarakat Madinah.

- Perjanjian Al-'Aqabah yang kedua: (musim haji tahun ke-13 kenabian)

» Disertai 73 lelaki - 62 daripada Khazraj dan 11 daripada Aus berserta 2 wanita.

» Permintaan Ansar agar dipilih seramai 12 orang naqib.

4.0 DARI HIJRAH HINGGA KEWAFATAN NABI SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Peristiwa Hijrah:

- Bemulanya Hijrah kaum Muslimin ke Madinah. Orang pertama yang berhijrah ialah Abu Salam Al-Makhzumi Radhiallahu 'Anhu bersama dengan isterinya Ummu Salamah Radhiallahu 'Anha.

- Hijrah beramai-ramai secara sembunyi, sehinggakan tiada yang tinggal di Mekah kecuali Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Abu Bakar, Al-Suhaib ar-Rumi dan Zaid bin Harithah Radhiallahu 'Anhum juga beberapa wanita di kalangan keluarga nabi saw.

- Bemulanya perbincangan di Dar an-Nadwah untuk merancang pembunuhan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

- Hijrah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersama Abu Bakar Radhiallahu 'Anhu, (2 Rabi'ul Awal bersamaan 20 September 631 Masihi) 13 tahun selepas perutusan baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai rasul.

- Rencana untuk membunuh baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam dilaksanakan pada malam hijrah.

- Rumah dikepung oleh pemuda-pemuda dari pelbagai qabilah.

- Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah menggantikan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam di tempat tidur.

- 3 hari di Gua Thur.

- Abdullah bin Abu Bakar Radhiallahu 'Anhu ditugaskan menyelidik berita-berita di Kota Mekah.

- Amir bin Fuhairah Radhiallahu 'Anhu di suruh memadamkan kesan tapak kaki ke gua Thur dengan menuntun kambing.

- Asma' binti Abu Bakar Radhiallahu 'Anha menyediakan makanan.

- Detik genting di gua Thur; diselamatkan oleh Allah dengan sarang labah-labah dan sarang merpati.

- Dikejar oleh Suraqah bin Malik.

- Mukjizat di perkhemahan Ummi Ma'bad Al-Khuza'i; Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam memerah susu daripada kambing kurus.

- Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tiba di Quba' (8 Rabi'ul Awal). Singgah di rumah Kalthum bin Hudm Radhiallahu 'Anha selama tiga hari.

- Pembinaan Masjid Quba'.

- Tiba di Madinah. (12 Rabi'ul Awal)

- Di sambut dengan gilang-gemilang oleh 500 orang Ansar dan diiringi masuk ke dalam kota Madinah.

- Solat Jumaat pertama dalam sejarah Islam di perkampungan Banu Salim bin 'Auf.

- Menetap di rumah Abu Ayub Al-Ansari Radhiallahu 'Anhu di Madinah.


PERISIWA TAHUN PERTAMA HIJRAH

  • Suasana Madinah:

- 3 kelompok besar Yahudi:

1. Yahudi Banu Qainuqa' – ketika ini terdapat sekitar 700 lelaki dewasa.

2. Yahudi Banu Quraizah – 700 hingga 900 orang lelaki dewasa.

3. Yahudi Banu Nadhir – 700 lelaki dewasa

- menguasai ekonomi Madinah

- Aus dan Khazraj:

- Aus tinggal di kawasan yang subur, berjiran dengan Yahudi Banu Nadhir dan Yahudi Banu Quraizah.

- Khazraj tinggal di kawasan yang kurang subur berjiran dengan Yahudi Banu Qainuqa'.

- Aus dan Khazraj sering berperang. Peperangan yang pertama ialah peperangan Samir dan peperangan yang terakhir peperangan Buwat (5 tahun sebelum hijrah – dimenangi oleh Aus)

- Dalam peperangan Buwat, Khazraj bersekutu dengan Yahudi Banu Qainuqa'.

  • Masyarakat pada masa ini menyembah berhala Manat kerana mengikut apa yang diamalkan di Mekah. (Berhala Uzza disembah di Mekah dan berhala Laata di Taif)
  • Tanah yang subur di Madinah digunakan untuk menanam anggur dan kurma.
  • Penukaran nama Yathrib kepada Madinah.
  • Pembinaan Masjid an-Nabawi:

- Dibina di atas tanah yang dibeli kepunyaan 2 orang anak yatim.

- Asalnya ialah tempat pengeringan tamar dan terdapat perkuburan lama.

  • Bermulanya seruan azan dalam Islam yang dilaungkan oleh Bilal bin Rabah Radhiallahu 'Anhu.
  • Penggubalan Piagam Madinah: Perlembagaan bertulis pertama dalam Islam yang digubal antara orang Islam (Ansar dan Muhajirin) dengan Yahudi Madinah.
  • Mempersaudarakan Muhajirian dan Ansar.
  • Ketibaan keluarga Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan baki kaum Muslimin ke Madinah. (Rabi'ul Akhir)
  • Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengutus Zaid bin Harithah dan Abu Rafi' Radhiallahu 'Anhuma ke Mekah untuk mengambil saki baki kaum Muslimin yang masih belum tiba. Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan.
  • Antara yang dibawa ke Madinah ialah:

1. Fatimah binti Rasulillah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

2. Ummu Kalthum binti Rasulillah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

3. Saudah binti Zam'ah Radhiallahu 'Anha (Isteri Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam).

4. Ummu Aiman Radhiallahu 'Anha (Isteri Zaid bin Thabit Radhiallahu 'Anhu).

5. Usamah bin Zaid Radhiallahu 'Anhu.

6. Abdullah bin Abu Bakar Radhiallahu 'Anhuma.

7. Ummu Ruman Radhiallahu 'Anha (Isteri Abu Bakar Radhiallahu 'Anhu).

8. 'Aisyah binti Abu Bakar Radhiallahu 'Anhuma.

9. Asma' binti Abu Bakar Radhiallahu 'Anhuma (Isteri Zubair bin Al-Awwam Radhiallahu 'Anhu, ketika ini sedang mengandungkan Abdullah bin Zubair Radhiallahu 'Anhu)

  • Keizinan berperang melalui turunnya Surah Al-Hajj. (Rejab)
  • Sariyah[i]Hamzah bin Abdul Muttalib Radhiallahu 'Anhu: (Ramadhan)

- Juga dinamakan Sariyah Saiful Bahr.

- Disertai 30 orang Muslimin.

- Panji dibawa oleh Abu Marthad Radhiallahu 'Anhu.

- Bertujuan untuk menyekat kafilah perniagaan Quraisy, seramai 300 orang Musyrikin bersama-sama Abu jahal.

- Pertempuran dihalang oleh Majdi bin Amru.

  • Sariyah Ubaidah bin Al-Harith Radhiallahu 'Anhu: (7 Syawal)

- Juga dinamakan Sariyah Rabigh.

- Disertai 60 orang Muhajirin

- Berlaku panah-memanah dan berakhir dengan larinya golongan Musyrikin.

  • Kelahiran Abdullah bin Zubir Radhiallahu 'Anhu. (25 Syawal) Kelahiran pertama di Madinah dari kalangan Muhajirin.
  • Sariyah Sa'ad bin Abi Waqqas Radhiallahu 'Anhu: (Zulkaedah)

- Juga dinamakan Sariyah Al-Kharar.

- Disertai 20 orang Muslimin.

- Bertujuan menyekat kafilah Quraisy. Kafilah berlalu dan tidak berlaku pertempuran.

  • Kematian Tahun Pertama

1. Uthman bin Maz'un Radhiallahu 'Anhu. (saudara susuan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam)

2. Kalthum bin Al-Hadm Radhiallahu 'Anha.

3. Asad bin Zurarah Radhiallahu 'Anhu (salah seorang daripada 12 Naqib)

4. Barra bin Ma'arur Radhiallahu 'Anhu (juga Naqib)

5. Al-Walid bin Mughirah (Musyrikin penentang dakwah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam)



[i] Sariyah: Ekspedisi ketenteraan yang tidak disertai oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Terdiri daripada kumpulan tentera seramai antara 90-100 orang.

PERISTIWA TAHUN KE-2 HIJRAH

- Ghazwah Waddan: (Safar)

- Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam keluar bersama 70 sahabat untuk menyekat kafilah Quraisy.

- Panji dibawa oleh Hamzah bin Abdul Muttalib Radhiallahu 'Anhu.

- Tidak berlaku pertempuran.

- Ghazwah Buwat: (Rabi'ul Awal)

- Untuk menyekat kafilah Quraisy seramai 100 orang bersama Umaiyyah bin Khalaf dan 1500 unta.

- 200 orang Muhajirin keluar

- Panji dibawa oleh Sa'ad bin Abi-Waqqas Radhiallahu 'Anhu.

- Kafilah berlalu tanpa bertemu antara kedua-dua pihak.

- Ghazwah Zil-'Ushairah: (15 Jamadil Awwal)

- Menyekat rombongan Abu Sufyan bin Harb berserta lebih kurang 20 orang lelaki.

- Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam keluar bersama 150 Muhajirin.

- Panji dibawa oleh Hamzah bin Abdul Muttalib Radhiallahu 'Anhu.

- Musuh terlepas.

- Ghazwah Badar Al-Ula: (22 Jamadil Akhir)

- Bertujuan menjejaki dan mengejar Kuraz bin Jabir Al-Qahri yang datang menyerang hendap Madinah.

- Panji dibawa oleh Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah.

- Khuraz terlepas.

- Sariyah Abdullah bin Jashy Radhiallahu 'Anhu: (Rejab)

- Sariyah bersama 12 orang lelaki.

- Berlaku pembunuhan pertama oleh umat Islam pada bulan yang diharamkan perang dengan terbunuhnya 'Amru bin Al-Hadrami.

- Pertukaran arah kiblat dari arah Baitul Maqdis ke arah Mekah. (15 Sya'ban)

- Kefarduan Puasa; kewajipan pada bulan Sya'ban untuk dilaksanakan pada bulan Ramadhan.

- Kewajipan Zakat Fitrah dan Zakat Harta.

- Ghazwah Badar Al-Kubra: (17 Ramadhan)

- Tujuan asal ialah menyekat kafilah Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb yang pulang dari Syam.

- Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam keluar bersama 313 Muslimin (majoritinya kaum Ansar berserta 2 tentera berkuda dan 70 unta). Abdullah bin Ummi Maktum Radhiallahu 'Anhu menjaga Madinah.

- Bendera dibawa oleh Mus'ab bin Umair Radhiallahu 'Anhu. Bendera Muhajirin oleh Ali bin Abu Talib Karramallahu Wajhah, bendera Ansar oleh Sa'ad bin Muaz Radhiallahu 'Anhu.

- Abu Sufyan menghantar utusan ke Mekah meminta bantuan.

- Kafilah terlepas daripada sekatan, namun Abu Jahal tetap bekeras untuk berperang.

- Tentera Musyrikin Quraisy seramai 950 orang, 100 tentera berkuda dan 700 unta.

- Umair bin Humam Al-Ansari Radhiallahu 'Anhu syahid pertama perang Badar.

- Kemenangan di pihak Muslimin dengan 70 Musyrikin yang terbunuh dan 70 ditawan serta terbunuhnya pembesar-pembesar Quraisy.

- Pejuang Muslimin yang gugur syahid:

i) 'Ubaidah bin Al-Harith Radhiallahu 'Anhu

ii) Hanzalah bin Abi Sufyan Radhiallahu 'Anhu

iii) Sa'id bin Al-'Ash Radhiallahu 'Anhu

ØAntara tentera Musyrikin yang terbunuh:

i) Al-Aswad bin Abdul Asad

ii) 'Utbah bin Rabi'ah

iii) Syaibah bin Rabi'ah

iv) Al-Walid bin 'Utbah

v) Abu Al-Bakhtari bin Husham

vi) Umayyah bin Khalaf

vii) 'Ali bin Umayyah

viii) Abu Jahal bin Husham

ix) Naufal bin Khawailid

x) 'Uqbah bin Abi Mu'it

xi) An-Nadhr bin Al-Harith

- Kewafatan Ruqayyah binti Rasulillah Sallallahu 'Alaihi Wasallam – Isteri Uthman bin 'Affan Radhiallahu 'Anhu. (26 Ramadhan)

- Ghazwah Banu Qainuqa': (Rabi'ul Akhir; pendapat yang kuat Syawal tahun ke-2)

- Tercetus disebabkan peristiwa seorang pemuda Muslim dibunuh kerana telah membunuh seorang tukang emas Qainuqa' yang cuba mempermainkan seorang wanita Ansar mendedahkan auratnya di pasar Banu Qainuqa'.

- Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengepung orang-orang Yahudi Banu Qainuqa' selama 15 malam berturut-turut di tempat mereka. Bendera dibawa oleh Hamzah bin Abdul Muttalib Radhiallahu 'Anhu)

- Diperdamaikan oleh 'Ubadah bin Al-Samit Radhiallahu 'Anhu.

- Yahudi Banu Qainuqa' di usir keluar dari Madinah

- Ghazwah Al-Sawiq: (5 Zulhijjah)

- Abu Sufyan bernazar tidak akan membasuh kepala sehinggalah dapat membalas dendam terhadap kaum Muslimin atas kekalahan di Badar.

- Keluar dengan 200 Musyrikin.

- Mereka berhasil membunuh 2 orang Ansar.

- Tentera Musyrikin terlepas daripada kejaran Muslimin.

- Solat hari raya yang pertama.

- Perkahwinan Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah dengan Fatimah binti Rasulillah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. (20 Syawal)

Tidak ada komentar: